Pages

Saturday, June 4, 2011

Filipina lancar kempen cegah bawa keluar cicak tokek

KUALA LUMPUR: Kerajaan Filipina melancarkan kempen besar-besaran bagi menghentikan kegiatan membawa keluar cicak tokek atau gecko yang ditawarkan pada harga tinggi di pasaran gelap.

Berikutan itu, Manila semalam meletakkan polis di negara berkenaan dalam keadaan berjaga-jaga bagi mencegah penjualan, mengangkut atau memindahkan secara haram haiwan berkenaan oleh warga asing.


Akhbar dalam talian Inquirer.net semalam memetik Pegawai Alam Sekitar dan Sumber Asli (Cenro) bandar Bacolod, Joan Gerangaya sebagai berkata polis diarahkan supaya menahan sesiapa saja yang menangkap, menjual atau mengangkut tokek kerana mencabuli Akta Hidupan Liar Filipina.


Pihak berkuasa di lapangan terbang dan pelabuhan negara itu turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghalang sesiapa saja membawa keluar tokek atau hidupan liar lain dari kawasan selatan Filipina.

Laporan Berita Harian sebelum ini menyatakan kawasan di selatan Filipina menjadi tumpuan pemburu cicak tokek dengan menawarkan sejumlah wang besar kepada penduduk tempatan bagi mendapatkan haiwan itu.

Haiwan berkenaan dianggap bernilai apabila mula mencecah berat 450gram dan sepanjang 22 inci kerana dikatakan mampu mengubat pelbagai jenis penyakit termasuk AIDS serta dikatakan boleh dijadikan bahan untuk membuat bom nuklear.

Harga haiwan yang mencapai tahap dewasa itu dikatakan ditawarkan pada harga sehingga RM1 bilion di pasaran gelap tetapi pembeli dari Malaysia yang menjadi orang tengah untuk saudagar dari China dan Korea, boleh mendapatkan haiwan itu di selatan Filipina dengan harga antara RM100,000 hingga RM300,000 saja.
Naib Presiden dan Pengarah Urusan Yayasan Perlindungan Biodiversiti Filipina, Errol Abada Gatumbato yang dipetik akhbar itu turut menyatakan, dagangan secara haram cicak tokek amat berleluasa di selatan Filipina.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, sekali lagi menyeru rakyat Malaysia supaya tidak terbabit dalam aktiviti dagangan cicak tokek kerana ia mencabuli undang-undang tempatan.

“Saya berharap mereka tidak terpengaruh dengan tawaran lumayan hasil dagangan haiwan ini kerana belum ada kajian saintifik membuktikan dakwaan khasiat tokek,” katanya kepada Berita Harian.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...