SUNGAI BULOH: “Kami orang miskin, hendak dapatkan RM50 seminggu pun susah, mana mahu cari wang untuk membayar wang tebusan bagi membebaskan dia.
“Tiada kudrat saya untuk mengumpul sebanyak diminta. Apa yang saya terdaya adalah merayu belas kerajaan atau persatuan kebajikan tampil membantu. Malah, demi enam anak kami, saya harap dia dibebaskan bagi membolehkan kami menyambut puasa dan berhari raya tidak lama lagi,” kata Mazlina Mohamad, 38, bekas isteri Mohd Nazarrudin Saidin, 38 yang kini ditahan kumpulan penculik di Filipina.
“Tiada kudrat saya untuk mengumpul sebanyak diminta. Apa yang saya terdaya adalah merayu belas kerajaan atau persatuan kebajikan tampil membantu. Malah, demi enam anak kami, saya harap dia dibebaskan bagi membolehkan kami menyambut puasa dan berhari raya tidak lama lagi,” kata Mazlina Mohamad, 38, bekas isteri Mohd Nazarrudin Saidin, 38 yang kini ditahan kumpulan penculik di Filipina.
Mazlina berkata, hidup mereka sekeluarga ibarat ‘kais pagi makan pagi’ sejak pemergian Mohd Nazarrudin ke Filipina, malah beliau terpaksa menjual kuih untuk menyara enam anak termasuk lima orang yang bersekolah.
“Anak masih kecil dan mereka memerlukan Nazarrudin. Mereka amat dahagakan kasih sayang seorang bapa.
“Terima kasih kepada Berita Harian kerana begitu prihatin dengan masalah ini hingga menghantar pemberita ke Filipina untuk membantu membebaskan Nazarrudin,” katanya ketika dikunjungi pemberita di rumah usangnya di Sungai Plong dekat sini, semalam.
Mohd Nazarrudin, seorang penganggur yang baru berjinak-jinak menjadi orang tengah dalam urus niaga cicak tokek atau gecko, ditahan kumpulan penculik di Pulau Jolo, selatan Filipina pada 8 Mei lalu.
Laporan awal menyebut, kumpulan penculik yang disyaki mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf serta terbabit dalam keganasan dan menculik demi mendapatkan wang, menuntut wang tebusan sebanyak RM5.6 juta.
Mazlina turut menyangkal laporan media sebelum ini yang menyebut bekas suaminya adalah seorang ahli perniagaan, sedangkan Mohd Nazarrudin sebenarnya penganggur selepas berhenti bekerja sebagai pemandu kontena.
Beliau turut merayu kumpulan penculik itu supaya membebaskan Mohd Nazarrudin atas dasar kemanusiaan kerana beliau bukan orang berada seperti yang disangka kumpulan itu.
“Saya kasihan melihat anak-anak yang sentiasa merindui bapanya terutama menjelang waktu malam. Malah, ada yang bermimpi berjumpa bapanya kerana terlalu merindui Nazarrudin.
“Saya sudah kehabisan air mata, malah saya juga tidak mampu lagi untuk memujuk anak-anak saya yang sentiasa menangis dan bertanyakan mengapa bapa mereka belum pulang,” katanya menahan sebak.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad ketika menghubungi Berita Harian semalam berkata, Abdul Ghafar Akkirulla iaitu rakan Mohd Nazarrudin yang dibiar terkandas di Jolo oleh kumpulan penculik, sudah dihantar pulang ke Malaysia menggunakan dana kecemasan kedutaan.
Berita Harian sebelum ini, berjaya membantu Abdul Ghafar membolosi kawalan kumpulan penculik di Zamboanga dan menerbangkannya ke Manila bagi membolehkan beliau mendapat pas sementara selepas pasport dan wangnya dirampas penculik.
1 comments:
bekas isteri?x faham la ngan berita ni..konpius..
Post a Comment