Pages

Monday, May 23, 2011

Astrid si duyung jelita

NAMA aktres Astrid Berges-Frisbey tidaklah sepopular rakan senegaranya, Penelope Cruz. Namun, kejelitaan yang dimiliki gadis berusia 24 tahun ini mampu membuatkan ramai jejaka terliur melihatnya.

Astrid yang berasal dari Barcelona, Sepanyol mula mencuri tumpuan apabila muncul bersama Penelope membintangi filem sekuel terbaru, Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides yang kini hangat ditayangkan.

Berbanding pembabitannya sebelum ini yang lebih dikenali di negara asal, sebaliknya kemunculan di pentas Hollywood kali ini membuka mata ramai pihak menyaksikan lakonannya.


Memberi tarikan, dalam sekuel keempat ini, Astrid diberi kepercayaan membawa watak duyung bernama Syrena. Filem arahan Rob Marshall ini masih menampilkan Johnny Depp sebagai pendukung utama, Jack Sparrow dibantu Geoffrey Rush (Barbossa), Ian McShane (Blackbeard) dan Kevin McNally (Gibbs).

Bagi Astrid, penggambaran bersama pelakon terkenal dalam filem ini memberikan pengalaman menyeronokkan.

“Saya masih ingat, suatu hari ketika berada di Hawaii selama seminggu, saya lihat Rush, Depp dan McNally dan mereka begitu seronok meluangkan masa bersama-sama.

“Apa yang saya lihat seolah-olah tidak percaya apabila mereka begitu menghormati kerja masing-masing. Apabila mereka bekerjasama dengan pelakon baru seperti saya, ia macam bermimpi,” katanya.

Astrid juga menyifatkan rekaan kostum ikan duyung dalam filem itu suatu yang mengagumkan.

“Kostum duyung yang dicipta itu sungguh menarik dan menjadikan kemunculan saya lebih fantastik. Dalam menjayakan watak ini, saya juga dibantu teknik imej janaan berkomputer (CGI).

“Sukar saya membayangkan watak itu sebelum berlakon. Segalanya berubah tatkala saya berada di lokasi sebenar,” katanya.

Di sebalik keseronokan yang dilalui ketika berlakon filem ini, Astrid menyatakan dia bersedia meluangkan masa panjang untuk berada berjauhan dari kampung halaman.

Katanya, dia pernah berdepan pengalaman pertama berlakon apabila menghabiskan masa selama enam bulan di lokasi penggambaran. Namun ia tidak menjadi masalah kepadanya, malah dia sentiasa mempersiapkan diri menghadapi situasi yang lebih panjang untuk berikan komitmen terbaik.

Berkongsi pengalaman sama, aktor Sam Claflin yang membawa watak Philip juga teruja dan seronok ketika menjayakan penggambaran filem pengembaraan ini.

Aktor sebaya Astrid ini menganggap filem ini melonjakkan namanya selepas hanya terbabit dengan drama TV.

“Pengalaman yang ditimba membuatkan saya terkejut dan ia memberikan impak besar pada karier seni saya sendiri. Saya gembira kerana selesa ketika membawa watak ini dan mereka cukup terbuka bekerjasama.

“Menjalani penggambaran di Hawaii suatu yang menyeronokkan apabila dikelilingi pokok palma dan kelapa manakala pelakon pula memakai kostum lanun dan ‘zombie’. Semua pelakon termasuk petugas memberikan sepenuh fokus ketika di lokasi,” katanya.

Sebagai pendatang baru di layar perak Hollywood, Claflin percaya filem ini banyak membantu popularitinya dikenali ramai.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, tapi saya mengharapkan yang terbaik untuk diri saya buat masa ini,” katanya.

Sumber Harian Metro online.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...