KUTIPAN Nur Kasih The Movie untuk hari pertama tayangan pada Khamis lalu berjumlah RM500,000. Itulah berita gembira disampaikan orang kuat bahagian promosi Primeworks Studio.
Seminggu sebelum itu, filem Kongsi yang ditayangkan di pawagam pada 12 Mei mencatat sejarah sebagai filem Melayu pertama mencatat kutipan tertinggi pada hari pertama tayangannya dengan lebih RM1 juta. Filem aksi komedi dijayakan bintang popular Shaheizy Sam itu berjaya mencatat RM7 juta selepas tujuh hari tayangan.
Apabila Nur Kasih yang diangkat dari siri popular yang mencatat fenomena masuk pang�gung Khamis lalu, bermakna Kongsi perlu memberi laluan kepada Nur Kasih untuk ditayangkan di dewan paling besar manakala Kongsi ditayangkan di dewan lebih kecil.
Selepas seminggu Nur Kasih ditayangkan, laluan sama diberikan pula kepada filem seram arahan Yusry Abdul Halim, Karak yang mula ditayangkan Khamis ini. Bagaimana pula sambutan terhadap filem terbitan KRU Studio itu nanti?
Sebagaimana meriahnya tayangan filem Melayu di panggung dengan satu filem selang seminggu, begitu juga meriahnya tayangan di Astro First sejak akhir tahun lalu. Penonton mempunyai pilihan antara Cun, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), Senjakala, Di Larang Masuk dan Seru.
Selepas dua minggu Kongsi ditayangkan di pawagam, ia akan diteruskan pula di pawagam rumah di Astro First dengan tiket RM15 dan boleh ditonton seramai mungkin berbanding di pawagam satu tiket untuk seorang.
Bagaimanapun, berbeza de�ngan Nur Kasih yang tidak akan ada di Astro First kerana diterbit�kan Primeworks yang memiliki stesen televisyen sendiri.
Jadi kita akan hanya boleh menonton Nur Kasih The Movie di pawagam saja.
Filem arahan Kabir Bhatia dan skrip oleh isterinya, Mira Mustaffa itu mengharapkan pengikut setia sirinya yang mencatat fenomena apabila ditonton 19 juta orang.
Bagaimanapun, mustahil untuk mengharapkan semua peminatnya ke panggung kerana mereka yang ke pawagam dengan menonton di rumah memang berbeza.
Ternyata kehadiran Astro First ini ada pro dan kontranya, tetapi apa yang pasti, ia memberi sinar baru kepada ramai produser tanah air. Apa tidaknya, selepas dua minggu ditayangkan di pawagam, tidak semua filem mencatat kutipan membanggakan lebih RM4 juta seperti HMM dan Khurafat.
Rata-rata filem yang ditayang�kan tahun ini mencatat kutipan bawah RM1 juta dan produser hanya mendapat sebahagian daripadanya apabila perlu dikongsi dengan pawagam.
Sudah tentu tawaran dari Astro First ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.
Mereka bukan saja mendapat bayaran untuk harga hak tayangan, malah peratus dari langganan. Ia memberi kebaikan buat filem seperti Haq, ... Dalam Botol, Dilarang Masuk dan Seru.
Berbeza pula dengan produser filem Momok Jangan Panggil Aku yang enggan menjual hak eksklusif filem itu kepada Astro First. Tiada siapa yang berhak mempertikaikan keputusan produser kerana itu haknya.
Dari satu segi, satu kerugian besar kerana filem itu hanya mencatat kutipan RM500,000 dan apabila dibahagi dengan panggung, dapatlah lagi sekitar RM200,000. Selepas itu, ke mana hendak dijual hak taya�ngannya, tidak kisahlah, begitu juga untuk DVD.
Bagaimana untuk terus menghasilkan filem seterusnya kalau filem tidak balik modal? Masalahnya, kos menghasilkan filem itu sebelum ini mungkin dari pinjaman tertentu, jadi bagaimana hendak membayar semula pinjaman itu?
Mereka yang mengeluarkan filem bukan saja sudah dikenali dalam industri seperti Skop Productions Sdn Bhd, Primeworks Studios, Tayangan Unggul Sdn Bhd, Metrowealth (MIG) Pictures dan KRU Studios, malah muncul ramai produser bebas yang sebelum ini menceburi bisnes lain.
Kesannya, berbaris filem menanti tayangan hingga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperkenal�kan tayangan selang seminggu sejak Mac lalu hingga membariskan senarai filem yang ditayang�kan sehingga Oktober ini.
Rahmat dari kemelut ini ialah kemunculan Astro First yang menyambung tayangan filem di pawagam ke rumah pula. Mungkin satu segi ke hadirannya dianggap membuatkan orang tidak ke panggung untuk menonton filem baru kerana boleh menunggu tayangannya di rumah selepas dua minggu tayangan.
Bagaimanapun, difahamkan, ada kelompok yang memang gemar ke panggung untuk menonton filem. Mereka ini akan memilih filem yang mereka suka. Kalau filem itu bagus, mereka akan tonton, kalau tidak, banyak lagi pilihan ada dari filem luar. Tepuklah dada, tanya selera.
Sumber Metro onlone.
0 comments:
Post a Comment